Satu gol di Warsaw dan satu gol di Wroclaw sudah cukup untuk menutup tirai Kumpulan A dengan kesudahan luar duga.
Pilihan ramai, Russia yang memulakan kempen dengan persembahan memukau ketika membelasah Republik Czech tersingkir - ketika Republik Czech yang mula diragui keupayaan mereka serta Greece yang sering dianggap lemah dan membosankan mengukir langkah ke suku akhir.
Tuan rumah bersama, Poland turut kecundang.
Kedudukan akhir Kumpulan A Euro 2012
Kiyai Seman bertanya, "Kenapa Greece yang layak sedangkan perbezaan gol Russia lebih tinggi berbanding Greece?"
Ketua kampung menjawab, "Oh, itu sudah pasti. Undang-undang UEFA menyatakan jika mana-mana pasukan terikat dengan mata yang sama maka kutipan mata dalam perlawanan sesama mereka akan diambilkira dahulu. Jika masih sama juga, barulah perbezaan gol dinilai."
Greece 1 - 0 Russia
Smash and grab. Mungkin ini istilah yang tepat boleh ditujukan kepada Greece.
Dengan hanya berbekal satu mata selepas dua perlawanan, Greece turun dengan corak permainan tradisi ala bertahan sambil menunggu peluang melakukan tindakan pemusnah. Sepertimana ketika menewaskan Perancis, Republik Czech dan Portugal di Euro'04 - satu gol sudah mencukupi asalkan benteng sendiri tidak bolos.
Russia mengekalkan corak permainan menyerang. Namun nasib nyata tidak menyebelahi Russia kali ini apabila 25 cubaan gol sepanjang permainan gagal membuahkan hasil. Berbanding Greece yang hanya mempunyai 8 cubaan gol.
Penyerang Zenit yang diberi harapan tinggi oleh Russia, Aleksandr Kerzhakov begitu mengecewakan apabila sekali lagi menyepak angin di dalam kotak penalti lawan. Kegagalan tersebut cukup untuk mencerminkan cerita keseluruhan prestasinya dalam kejohanan ini - 13 cubaan, tiada gol.
Gol yang membawa Greece ke suku akhir hadir di minit-minit terakhir babak pertama. Menerusi kelibat Giorgos Karagounis - penyerang veteran - hero Greece pada Euro'04. Malangnya tidak dapat beraksi di suku akhir apabila dia kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua dalam kejohanan gara-gara pengadil menganggapnya sengaja merebahkan badan dalam kotak penalti.
Tamat separuh masa. Russia ketinggalan satu gol. Namun dengan kedudukan perlawanan Poland-Republik Czech di Wroclaw masih terikat 0-0, Russia masih mendahului di tangga pertama.
Menyedari pasukannya akan tersingkir sekiranya Poland atau Czech memperoleh gol kemenangan, Dick Advocaat memasukkan Roman Pavlyuchenko menggantikan Kerzhakov sebaik bermula separuh masa kedua. Greece terus kebal.
Minit ke 72, khabar dari Wroclaw menyatakan Czech telah menghasilkan jaringan. Advocaat lantas menambah penyerang. Pavel Pogrebnyak dimasukkan. Greece tetap juga ampuh sehingga ke wisel penamat.
Greece berpesta dan Russia kecundang.
Pemain terbaik perlawanan: Giorgos Karagounis
Poland 0 - 1 Republik Czech
Republik Czech memulakan perlawanan ini di tangga kedua di dalam kumpulan sebelum jatuh di tangga ketiga apabila Karagounis menghasikan gol di Wraclow. Jaringan Petr Jiracek di minit ke-72 mengubah kedudukan mereka muncul sebagai juara kumpulan.
Poland lebih banyak mengasak di babak pertama dan tampak berbahaya dengan beberapa percubaan dari Robert Lewandowski and Eugen Polanski. Bagaimanapun, masuk babak kedua, Poland kelihatan sukar mengekalkan momentum penguasaan lalu memberi ruang untuk Czech mengawal bahagian tengah lalu mendapatkan jaringan.
Ternyata kekalahan besar sewaktu menentang Russia langsung tidak menggugat keyakinan anak buah Michel Bilek dengan dua kemenangan berturut-turut mengumpul 6 mata di tangga teratas.
Tuan rumah pasti akan merenung semula dan menyesali kegagalan menyempurnakan beberapa peluang sepanjang perlawanan ini dan perlawanan yang terdahulu.
Pemain terbaik perlawanan: Petr Cech



No comments:
Post a Comment