Monday, June 18, 2012

Dominasi Ronaldo tundukkan Belanda. Jerman juarai kumpulan maut.

Belanda 1 - 2 Portugal

Ronaldo adalah Ronaldo. Watak yang diterajuinya di Real Madrid diperagakan dengan tepat dalam perlawanan ini.

Dua gol yang membawa Portugal mengiringi Jerman ke suku akhir adalah selayaknya buat bintang Real Madrid ini yang terus menerus menjadi ancaman utama kepada Belanda. Kepantasan yang gagal disaingi pertahanan Belanda, penguasaan di udara, hantaran bola yang memerangkap lawan, penyudahan dengan dua gol serta beberapa percubaan yang hampir membolehkannya mencatat hattrick.
Belanda tersingkir tanpa mengutip sebarang mata dalam kejohanan ini. Tiada sesiapa yang boleh dipersalahkan melainkan mereka sendiri. Ketika Jerman telah pun membuka ruang bagi pasukan oren dengan kemenangan ke atas Denmark, tampak tidak banyak yang boleh dilakukan oreh Belanda untuk menang dengan kelebihan dua gol ke atas Portugal.

Kegagalan memanfaatkan peluang ketika bertemu Denmark dan pemilihan barisan utama yang kurang berkesan menjadi kunci kepada kejatuhan Belanda.
Belanda tampil dalam perlawanan ini dengan formasi yang jauh lebih positif berbanding dua perlawanan awal. Tidak lagi menggunakan dua pemain tengah bertahan. Huntelaar dan Rafael van der Vaart diletakkan di dalam kesebelasan utama.

Strategi tersebut membuahkan hasil apabila Van der Vaart menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-11. Gol ini seharusnya menjadi pemangkin untuk Belanda terus garang mengasak mencari gol kedua.Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Portugal memperkemaskan gerakan. Ronaldo mengambil peranan sebagai watak utama. Percubaan Ronaldo di minit ke-15 terkena tiang gol sebelum menemui sasaran di minit ke-28 dan 74.

Portugal mara untuk bertemu Republik Czech di suku akhir.

Pemain terbaik perlawanan: Cristiano Ronaldo


Jerman 2 - 1 Denmark

Mario Gomez kurang menjadi dalam perlawanan ini namun Jerman masih mampu mencatatkan kemenangan. Lukas Podolski meletakkan Jerman di hadapan sebelum Michael Krohn-Dehli menyamakan kedudukan untuk Denmark. Kedudukan terikat 1-1 sehingga minit ke-80.

Ketika Denmark leka mengasak dalam usaha mendapatkan kemenangan, Lars Bender muncul menggegar gawang Denmark yang membolehkan Jerman muncul juara kumpulan maut dengan 9 mata maksimum.

Jerman bakal bertemu Greece di suku akhir.

Pemain terbaik perlawanan: Lukas Podolski

Sunday, June 17, 2012

Matematik kebarangkalian dan hipotesis. Kumpulan B - Siapa yang maut nanti?

Kumpulan maut sampai ke kemuncaknya.

Selepas dua perlawanan, agak mengejutkan apabila naib juara Piala Dunia 2010 terpelosok di tangga terbawah tanpa sebarang mata. Namun begitu pasukan oren belum lagi tersingkir dari perebutan ke suku akhir.

Jerman pula kelihatan efektif dengan 6 mata penuh. Namun masih ada senario yang memungkinkan mereka gagal ke suku akir. Portugal dan Denmark masing-masing di tangga kedua dan ketiga dengan tiga mata.


Matematik kebarangkalian

1. Jerman akan menjuarai kumpulan jika sekurang-kurangnya seri menentang Denmark.

2. Jika Jerman tewas kepada Denmark, kedua-dua pasukan ini akan mengumpul jumlah mata yang sama (6 mata). Sekiranya Portugal tewas kepada Belanda, keadaan ini membolehkan Denmark menjuarai kumpulan atas perhitungan satu sama satu Jerman lawan Denmark. Jerman di tempat kedua.

3. Jika kedua-dua perlawanan malam ini berakhir dengan keputusan seri, Jerman muncul juara kumpulan diiringi Portugal ke suku akhir.

4. Jika Belanda mengalahkan Portugal, Denmark hanya perlu seri dengan Jerman untuk berada di tangga kedua di belakang Jerman. Jika Denmark menang, Jerman di tangga kedua manakala Denmark juara kumpulan.

5. Jika Denmark gagal mengalahkan Jerman, Portugal hanya perlu seri untuk memastikan tempat kedua. Jerman juara kumpulan.

6. Jika Denmark menang ke atas Jerman sementara Portugal menang ke atas Belanda, keadaan menjadi sedikit rumit. Tiga pasukan berkongsi 6 mata. Maka satu liga mini dibentuk untuk menentukan kedudukan tempat pertama, kedua dan ketiga. Belanda di tempat keempat. Liga mini tanpa pasukan Belanda pada ketika ini adalah seperti berikut:


Sebelum perlawanan malam ini, perbezaan gol Jerman ialah +1, Portugal 0 dan Denmark -1. Apabila Denmark menang malam ini, perbezaan gol Denmark akan bertambah manakala perbezaan gol Jerman berkurang. Sebagai contoh, jika Denmark menang dengan kelebihan satu gol malam ini, perbezaan gol dalam liga mini di antara Jerman dan Denmark akan menjadi sama.

Kekalahan Jerman dengan beza satu gol (1-0 atau 2-1) sudah cukup membuatkan Jerman tersingkir, dengan Portugal di tangga kedua. Tetapi Jerman akan selamat dan Portugal akan tersingkir sekiranya Jerman tewas satu gol kepada Denmark tetapi dapat menjaringkan sekurang-kurangnya 2 gol (keputusan 2-3, 3-4, 4-5 dan seterusnya).

  • 6.1 - Jika berlaku senario ini (iaitu jika Jerman dan Belanda tumpas malam ini), Jerman tiada peluang untuk muncul juara kumpulan
  • 6.2 - Jika Denmark menang 1-0 ke atas Jerman, Denmark dan Portugal berkongsi jumlah jaringan dan bolos yang sama (jaringan 3, bolos 3). Jadi untuk menentukan juara, pertemuan Denmark-Portugal menjadi penentu. Portugal menang dan menjuarai kumpulan. Denmark kedua.
  • 6.3 - Jika Denmark menang 2-1 ke atas Jerman, Denmark muncul juara kumpulan. Portugal di tangga kedua. Jerman tersingkir.
  • 6.4 - Jika Denmark menang 3-2 ke atas Jerman, Denmark muncul juara kumpulan. Jumlah jaringan dan bolos bagi Jerman dan Portugal adalah sama. Jerman layak ke suku akhir mengiringi Denmark kerana Jerman telah mengalahkan Portugal dalam pertemuan sesama mereka.
  • 6.5 - Jika Denmark menang 4-3 atau 5-4 atau 6-5 (dan seterusnya) ke atas Jerman, Denmark muncul juara kumpulan. Jerman kedua. Portugal tersingkir.
  • 6.6 - Jerman akan tersingkir sekiranya tewas dengan dua gol malam ini (0-2, 1-3, 2-4, dsb). Denmark muncul juara kumpulan. Portugal kedua.

7. Belanda tanpa sebarang mata ketika ini boleh layak ke suku akhir seandainya pasukan oren ini menang dengan sekurang-kurangnya kelebihan dua gol ke atas Portugal manakala Jerman menang ke atas Denmark. Keadaan di mana Portugal, Denamrk dan Belanda berkongsi 3 mata. Jerman juara kumpulan dengan 9 mata maksimum. Untuk menentukan kedudukan tempat kedua, ketiga dan keempat liga mini tanpa pasukan Jerman dibentuk. Kedudukan liga mini sebelum perlawananan malam ini:


  • 7.1 - Jika berlaku senario ini (iaitu jika Portugal dan Denmark tumpas malam ini), Denmark akan tersingkir.
  • 7.2 - Jika Belanda menang dengan beza satu gol ke atas Portugal, Belanda masih menduduki tempat tercorot. Portugal akan layak kerana rekod satu lawan satu dengan Denmark memihak kepada Portugal.
  • 7.3 - Jika Belanda menang dengan beza dua gol atau lebih ke atas Portugal, Belanda akan mempunyai beza jaringan yang lebih baik berbanding Portugal dan Denmark dalam liga mini. Belanda layak mengiringi Jerman ke suku akhir.


Jerman lawan Denmark

Apakah twist akan berlaku lagi malam ini? Sekiranya berulang peristiwa dalam kumpulan A di mana kedua-dua permainan berkesudahan 1-0 memihak kepada Denmark dan Portugal, maka Jerman akan mengalami nasib sama seperti Russia.

Walaupun tidak menolak kemungkinan itu saya meletakkan kepercayaan kepada pasukan Jerman untuk mara. Jerman sebuah unit yang lengkap, cekap dan berpengalaman beraksi di pentas Euro dan Piala Dunia pastinya tidak mencicirkan peluang untuk mara ketika sudah selesa mendahului dengan mata maksimum selepas dua perlawanan.

Mario Gomez dilihat begitu menyerlah setakat ini. Diramalkan pemain Bayern Munich ini sekali lagi akan menemui jaring gol untuk memastikan rekod tiga kemenangan peringkat kumpulan. Benteng pertahanan Jerman yang hanya bolos satu gol kepada RvP setakat ini juga kelihatan kebal dan tidak mudah ditembusi Denmark.

Bagaimanapun Denmark pasti sekali lagi menyandarkan harapan kepada Michael Krohn-Dehli dan bekas penyerang Arsenal, Nicklas Bendtner untuk mendapatkan sesuatu.

Ramalan: Jerman 2 - 0 Denmark


Belanda lawan Portugal

Hanya satu senario untuk Belanda layak - iaitu menang malam ini dengan tidak kurang dari dua gol sambil berharap Jerman kalahkan Denmark (item 7.3 di atas).

Belanda dijangka akan turun berhabis-habisan untuk mendapatkan gol. Hanya satu gol selepas dua perlawanan bukanlah sesuatu yang menakjubkan oleh pasukan oren yang dibarisi pemain seperti RvP, Wesley Sneijder dan Arjen Robben ini. Mungkin jurulatih Bert van Marwijk akhirnya bersedia untuk menurunkan seorang saja pemain tengah bertahan sama ada Mark van Bommel atau Nigel de Jong dan menurunkan penjaring terbanyak pusingan kelayakan, Klaas-Jan Huntelaar dalam kesebelasan utama.

Portugal menunjukkan keberkesanan mendapatkan tiga gol dalam perlawanan menentang Denmark setelah gagal ketika menentang Jerman. Namun agak membimbangkan kerana kapten mereka, Cristiano Ronaldo masih belum menemui gol malah banyak melepaskan peluang keemasan sewaktu bertemu Denmark. Dikhuatiri pemain bintang ini mengalami tekanan dan gangguan yang boleh membawa kepada krisis keyakinan dan kesan buruk untuk pasukan.

Ramalan: Belanda 2 - 1 Portugal ATAU Belanda 3 - 1 Portugal (bergantung sama ada Belanda sempat atau tidak mendapatkan gol ketiga).

Ramalan keseluruhan: Jerman juara kumpulan diiringi Portugal ATAU Belanda ke suku akhir.

Liputan Matchday 3: Kumpulan A - Twist! Russia tersingkir, Greece layak dan Czech juara kumpulan.

Satu gol di Warsaw dan satu gol di Wroclaw sudah cukup untuk menutup tirai Kumpulan A dengan kesudahan luar duga.

Pilihan ramai, Russia yang memulakan kempen dengan persembahan memukau ketika membelasah Republik Czech tersingkir - ketika Republik Czech yang mula diragui keupayaan mereka serta Greece yang sering dianggap lemah dan membosankan mengukir langkah ke suku akhir.

Tuan rumah bersama, Poland turut kecundang.

Kedudukan akhir Kumpulan A Euro 2012

Kiyai Seman bertanya, "Kenapa Greece yang layak sedangkan perbezaan gol Russia lebih tinggi berbanding Greece?"

Ketua kampung menjawab, "Oh, itu sudah pasti. Undang-undang UEFA menyatakan jika mana-mana pasukan terikat dengan mata yang sama maka kutipan mata dalam perlawanan sesama mereka akan diambilkira dahulu. Jika masih sama juga, barulah perbezaan gol dinilai."

Greece 1 - 0 Russia

Smash and grab. Mungkin ini istilah yang tepat boleh ditujukan kepada Greece.

Dengan hanya berbekal satu mata selepas dua perlawanan, Greece turun dengan corak permainan tradisi ala bertahan sambil menunggu peluang melakukan tindakan pemusnah. Sepertimana ketika menewaskan Perancis, Republik Czech dan Portugal di Euro'04 - satu gol sudah mencukupi asalkan benteng sendiri tidak bolos.

Russia mengekalkan corak permainan menyerang. Namun nasib nyata tidak menyebelahi Russia kali ini apabila 25 cubaan gol sepanjang permainan gagal membuahkan hasil. Berbanding Greece yang hanya mempunyai 8 cubaan gol.

Penyerang Zenit yang diberi harapan tinggi oleh Russia, Aleksandr Kerzhakov begitu mengecewakan apabila sekali lagi menyepak angin di dalam kotak penalti lawan. Kegagalan tersebut cukup untuk mencerminkan cerita keseluruhan prestasinya dalam kejohanan ini - 13 cubaan, tiada gol.

Gol yang membawa Greece ke suku akhir hadir di minit-minit terakhir babak pertama. Menerusi kelibat Giorgos Karagounis - penyerang veteran - hero Greece pada Euro'04. Malangnya tidak dapat beraksi di suku akhir apabila dia kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua dalam kejohanan gara-gara pengadil menganggapnya sengaja merebahkan badan dalam kotak penalti.

Tamat separuh masa. Russia ketinggalan satu gol. Namun dengan kedudukan perlawanan Poland-Republik Czech di Wroclaw masih terikat 0-0, Russia masih mendahului di tangga pertama.

Menyedari pasukannya akan tersingkir sekiranya Poland atau Czech memperoleh gol kemenangan, Dick Advocaat memasukkan Roman Pavlyuchenko menggantikan Kerzhakov sebaik bermula separuh masa kedua. Greece terus kebal.

Minit ke 72, khabar dari Wroclaw menyatakan Czech telah menghasilkan jaringan. Advocaat lantas menambah penyerang. Pavel Pogrebnyak dimasukkan. Greece tetap juga ampuh sehingga ke wisel penamat.

Greece berpesta dan Russia kecundang.

Pemain terbaik perlawanan: Giorgos Karagounis


Poland 0 - 1 Republik Czech

Republik Czech memulakan perlawanan ini di tangga kedua di dalam kumpulan sebelum jatuh di tangga ketiga apabila Karagounis menghasikan gol di Wraclow. Jaringan Petr Jiracek di minit ke-72 mengubah kedudukan mereka muncul sebagai juara kumpulan.

Poland lebih banyak mengasak di babak pertama dan tampak berbahaya dengan beberapa percubaan dari Robert Lewandowski and Eugen Polanski. Bagaimanapun, masuk babak kedua, Poland kelihatan sukar mengekalkan momentum penguasaan lalu memberi ruang untuk Czech mengawal bahagian tengah lalu mendapatkan jaringan.

Ternyata kekalahan besar sewaktu menentang Russia langsung tidak menggugat keyakinan anak buah Michel Bilek dengan dua kemenangan berturut-turut mengumpul 6 mata di tangga teratas.

Tuan rumah pasti akan merenung semula dan menyesali kegagalan menyempurnakan beberapa peluang sepanjang perlawanan ini dan perlawanan yang terdahulu.

Pemain terbaik perlawanan: Petr Cech

Liputan Matchday 2: Kumpulan D - Perancis menang mudah. England cemas sebelum singkirkan Sweden.

Ukraine 0 - 2 Perancis

Hujan dan ribut petir menyebabkan perlawanan tertunda seketika.

Tiada gol di separuh masa pertama. Kemudiannya kelihatan agak mudah untuk Perancis di babak kedua.

Frank Ribery memecah masuk kubu Ukraine dan melepaskan bola kepada Karim Benzema. Benzema menolak kepada Jeremy Menez. Menez merembat masuk. 1-0.

3 minit berselang, sekali lagi dari hantaran Benzema. Kali ini Yohan Cabaye menyudahkan untuk kedudukan 2-0. Lalu Donbass Arena jadi sepi.

Pemain terbaik perlawanan: Karim Benzema


England 3 - 2 Sweden

England di bawah Roy Hodgson bertemu Sweden yang cuma ada Ibrahimovic. Dan lima gol terhasil. Luar dugaan.

England mendahului. Kehilangan pendahuluan. Ketinggalan. Menyamakan kedudukan. Dan akhirnya menang.

Andy Carrol diturunkan buat kali pertama. Penyerang tinggi lampai ini nyata tidak mengecewakan. Prestasi mantap hujung musim bersama Liverpool dibawa ke perlawanan ini untuk gol pembukaan.

Sekali lagi Steven Gerrard menjadi perancang. Hantaran jauh dari sebelah kiri pintu gol Sweden ditanduk kencang oleh Carroll tanpa dapat dicabar oleh pertahanan Sweden.

Mengakhiri separuh masa pertama England kelihatan solid.

Babak dua bermula dengan mimpi ngeri buat England. Pertahanan goyang ketika percubaan Mellberg tertampan ke pintu gol sendiri oleh Glen Johnson.

Kemudian dari satu lagi set piece Mellberg menanduk masuk gol kedua Sweden hasil hantaran sepakan percuma Sebastian Larsson.

Mendahuli 2-1, keyakinan Sweden kelihatan memuncak. England seperti akan tewas.
Lalu Roy melakukan penggantian hebat.

James Milner yang gagal berfungsi digantikan dengan Theo Walcott. Pemain Arsenal ini hanya memerlukan 3 minit untuk meledak jaringan penyamaan. Berpunca dari tendangan sudut yang dikeluarkan oleh pertahanan Sweden, Walcott menguasai bola dan melakukan percubaan dari luar kotak penalti. Bola sedikit terbias lalu memerangkap pergerakan Andreas Isaksson di pintu gol Sweden.

Kedudukan dua sama. Perlawanan kian mendebarkan. Sweden menambah asakan ketika barisan pertahanan England kelihatan longgar di belakang. Kapten Stevie bekerja keras. Joe Hart terus fokus.
Minit ke 78. Detik terbaik perlawanan hadir. Super super-sub Theo Walcott menggunakan kepantasannya melarikan bola melepasi dua pemain Sweden. Usahanya berhasil membuat hantaran kepada Danny Welbeck.

Dengan posisi badan membelakangi pintu gol, Welbeck melakukan sentuhan backheel yang gagal dibaca oleh Isaksson. Gol yang boleh dicalonkan usebagai jaringan terbaik kejohanan.

Pemain terbaik perlawanan: Theo Walcott

Liputan Matchday 2: Kumpulan C - Mandzukic padam kelebihan Itali. Sepanyol pamer rentak juara, Ireland pulang awal.

Itali 1 - 1 Croatia

Croatia memulakan perlawanan dengan hasrat meraih mata penuh untuk menempah tiket awal ke suku akhir. Bagaimanapun penguasaan Itali di babak pertama telah memerangkap barisan bimbingan Slaven Bilic.

Andrea Pirlo menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma di dalam Euro'12. Satu lencongan cantik yang gagal digapai oleh Pletikosa. Separuh masa pertama milik Itali.

Tetapi tidak di separuh masa kedua. Menerusi asakan berganda Croatia, Mario Mandzukic tenang mendapatkan gol penyamaan menewaskan penjaga gol veteran Itali.

Pemain terbaik perlawanan: Andrea Pirlo - pilihan saya untuk kali kedua berturut-turut sebagai MOM.


Sepanyol 4 - 0 Ireland

Itu dia. Mungkin inilah yang diharapkan apabila pasukan terbaik dunia menentang mungkin pasukan paling lemah di dalam kejohanan.
Pasukan juara dunia dengan 4 gol. Meninggalkan Ireland yang terkapai-kapai dengan hanya satu percubaan tersasar, kosong percubaan tepat.

Sepanyol melakukan perubahan dengan menurunkan Fernando Torres sebagai penggempur dan meletakkan Cesc Faregas di bangku simpanan.
Formasi 4-6-0 sebelum ini diubah kepada 4-5-1. Dan Torres tidak menunggu lama. Tidak sampai 4 minit berlalu, bekas bintang Liverpool ini meledak untuk gol pertama.

Di babak kedua David Silva menambah gol kedua Sepanyol sebelum Torres sekali lagi menjaringkan gol.
Torres kemudiannya direhatkan untuk memberi laluan kepada Cesc Fabregas. Gol keempat jaringan Cesc terhasil 8 minit kemudian.

Ireland muncul sebagai pasukan pertama tersingkir di peringkat kumpulan.

Pemain terbaik perlawanan: Fernando Torres

Petikan menarik:
"Torres menunjukkan tiada masa depan untuk bola sepak tanpa penyerang" - Gary Lineker.

Liputan Matchday 2: Kumpulan B - Ronaldo hambar, Portugal bernasib baik ketika Belanda terpaku

Denmark 2 - 3 Portugal

Dua gol separuh masa pertama seolah-olah menggambarkan Portugal akan meratah Denmark untuk tempoh 90 minit perlawanan.

Nicklas Bendtner tidak semena-mena muncul menjaringkan gol di hujung babak pertama bagi menyentap keselesaan Portugal.

Cristiano Ronaldo melalui pengalaman buruk sepanjang perlawanan melepaskan deretan peluang terhidang. Pada kedudukan Portugal mendahului 2-1 Nani menghidangkan hantaran kepada Ronaldo. Pada kedudukan satu sama satu dengan pintu gol terbuka luas, pemain nombor dua terbaik dunia itu melepaskan sepakan keluar ke sebelah kiri pintu gol Denmark.

Selang seminit kemudia, Bendtner menanduk masuk gol penyamaan untuk Denmark. 2-2.

Tiga minit sebelum tamat perlawanan, penyerang gantian, Varela menebus kesilapan sewaktu bertemu Jerman. Portugal menang 3-2.

Pemain terbaik perlawanan: Pepe


Jerman 2 - 1 Belanda

Pasukan kedua dan ketiga terbaik eropah selepas Sepanyol - menurut keputusan Piala Dunia 2010.
Kali ini Jerman tidaklah bermain cantik. Tapi yang penting, mereka bermain secara berkesan.

Belanda masih kekal dengan formasi yang dikritik hebat sewaktu tewas kepada Denmark - menggunakan dua pemain tengah bertahan, Mark van Bommel dan Nigel de Jong.

Bastian Schweinsteiger melorongkan hantaran tepat kepada Mario Gomez yang mengawal bola sebelum melakukan penyudah menewaskan Stekelenburg untuk gol pertama Jerman.

12 minit kemudian Gomez sekali lagi menjadi pemusnah dengan gol ketiganya di dalam 2 perlawanan Euro'12.

Belanda melakukan dua pertukaran serentak sebaik memulakan aksi babak kedua. Huntelaar dan Rafael van der Vaart masuk menggantikan Ibrahim Affelay dan Mark van Bommel.

Robin van Persie berjaya merapatkan jurang di minit ke-73 untuk Belanda. Namun itu tidak cukup untuk menghalang Jerman meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Bintang-bintang oren, Sneijder, Robben dan RvP umpama terhempuk menerima realiti. Selepas dua perlawanan, Belanda kosong mata.

Pemain terbaik perlawanan: Mario Gomez

Liputan Matchday 2: Kumpulan A - Czech bangkit. Poland pamer kehebatan ikat Russia.

Greece 1 - 2 Republik Czech

Czech menghidupkan kembali harapan untuk layak ke peringkat kalah mati.Dua gol awal di minit ke-3 dan ke-6 telah cukup bagi Tomas Rosicky dan rakan-rakan meraih tiga mata berharga.

Walaupun Theofanis Gekas berjaya merapatkan jurang berikutan kesilapan Petr Cech, Greece tidak kelihatan mengancam untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.

Sembilan percubaan gol dilakukan oleh Republik Czech. Dua masuk. Lima diselamatkan. Dan dua lagi tersasar. Daripada jumlah itu, tiada sebarang percubaan yang dilakukan oleh penyerang utama Milan Baros. Jelas sekali pemenang kasut emas Euro'04 itu sudah lama kehilangan sentuhannya. Dengan pergerakan yang perlahan serta mudah dihalang. Keputusan jurulatih mengeluarkannya pada pertengahan babak kedua adalah amat betul.

Pemain terbaik perlawanan: Theodor Gebre Selassie (pemain kulit hitam pertama untuk Czech)


Poland 1 - 1 Russia

Keputusan yang adil untuk kedua-dua pasukan. Russia mendahului hasil tandukan Alza Dzagoev di separuh masa pertama. Poland yang mempamerkan persembahan terpuji menyaksikan banyak percubaan ditangkis oleh penjaga gol Russia yang cemerlang.

Begitupun, ketua pasukan Jakub Blaszczykowski akhirnya berjaya mendapatkan gol menerusi rembatan cantik dari jalak 20 ela.

Permainan menarik yang dipamerkan pasukan tuan rumah bakal menjadikan mereka pasukan pilihan menjelang pertemuan penentu menentang Republik Czech. 

Pemain terbaik perlawanan: Vyacheslav Malafeev

Saturday, June 16, 2012

Matematik kebarangkalian dan hipotesis. Kumpulan A - Malam ini malam penentu

Malam ini malam penentu pastinya. Greece lawan Russia. Poland lawan Republik Czech. Selepas tamat 90 minit campur masa kecederaan, dua pasukan pertama ke suku akhir Euro'12 bakal diketahui.

Matematik kebarangkalian

Kesemua pasukan di dalam kumpulan ini masih berpeluang untuk layak.
Russia, Republik Czech, Poland dan Greece masing-masing dipisahkan dengan satu mata.


1. Sesiapa sahaja yang menang malam ini akan layak ke suku akhir.

2. Russia hanya perlu seri menentang Greece untuk layak ke suku akhir.

3. Malah dengan keputusan seri, sudah cukup untuk Russia menjuarai kumpulan sekiranya Republik Czech tidak menang ke atas Poland.

4. Seandainya Russia kalah, mereka masih boleh layak jika perlawanan Poland-Republik Czech berakhir dengan keputusan seri.

5. Tetapi kekalahan kepada Greece pada malam ini akan menyebabkan Russia tersingkir jika Poland atau Republik Czech menang.

6. Greece walaupun dengan satu mata ketika ini, akan layak sekiranya menang ke atas Russia.

7. Sekiranya seri atau kalah, Greece tersingkir.

8. Greece bagaimanapun sukar untuk menduduki tangga teratas.

9. Sekalipun berjaya menewaskan Russia, Greece hanya boleh muncul juara kumpulan sekiranya Poland menang ke atas Republik Czech.

10. Itupun belum cukup lagi. Syarat tambahan untuk Greece duduk paling atas ialah: Greece perlu menang jaringan lebih besar berbanding kemenangan Poland ke atas Republik Czech.

11. Berbanding Greece, peluang Poland untuk layak lebih cerah. Ini kerana Republik Czech mungkin tidak sekuat Russia.

12. Bagaimanapun Poland mesti menang untuk layak. Seri atau kalah bermakna tuan rumah bersama ini akan tersingkir.

13. Poland boleh muncul juara kumpulan jika mereka menang dan Russia pula gagal menang dengan Greece (dengan syarat Greece tidak menang dengan lebih banyak gol).  

14. Republik Czech hanya perlu seri menentang Poland untuk layak.

15. Untuk muncul juara kumpulan, mereka perlu menang di samping berharap Russia sekadar seri atau kalah menentang Greece.


Greece lawan Russia

Dengan peluang untuk layak masih berada di tangan setiap pasukan, Greece pasti mendapat kelebihan moral menjelang pertemuan ini. Namun demikian, pasukan juara 2004 ini kelihatan sukar untuk menyerap kekuatan Russia yang beraksi cemerlang setakat ini.

Secara tradisi Greece adalah pasukan yang sukar ditembusi dan cuba mencari gol menerusi gerakan set piece. Amat berbeza dengan Russia yang mengamalkan corak pantas dan terbuka dengan gaya menyerang.

Secara keseluruhannya, kelebihan berpihak kepada Russia. Ini kerana keputusan seri akan menyebabkan Greece tersingkir. Greece pastinya sukar mendapatkan gol sekiranya menerapkan corak bertahan melampau tanpa banyak menyerang.

Manakala gandingan Arshavin dan Dzagoev pastinya bersedia menyambar peluang setiap kali ada kelekaan di barisan belakang Greece.

Ramalan: Greece 1 - 3 Russia


Poland lawan Republik Czech

Ada 15 hipotesis keadaan di dalam matematik kebarangkalian di atas.

Namun jika dipermudah dengan kaedah menilai prestasi semasa, tema perlawanan ini ialah penentu siapa yang bakal mengiringi Russia.

Dari satu sudut, Republik Czech ada kelebihan kerana mereka hanya perlukan seri berbanding Poland yang perlukan kemenangan.

Namun dari satu sudut yang lain pula, Poland mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah. Malah, persembahan Poland setakat ini dilihat begitu memberangsangkan (kecuali sewaktu separuh masa kedua menentang Greece).

Ramalan awal saya sebelum kejohanan menyatakan Russia dan Republik Czech akan layak. Namun kini saya lebih berharap Poland layak - walaupun tekanan sebagai tuan rumah boleh menjadi pemusnah impian Poland.

Republik Czech lebih mengharapkan jentera tengah untuk mara kehadapan menghasilkan gol ketika kuda tua, Milan Baros tidak ubah sekadar penumpang di tengah padang.

Poland pasti membara dengan sorakan 40 ribu penyokong di stadium untuk mendapatkan tiga mata. Selain gandingan Lewandowski dan kapten Blaszczkowski, pemain Mainz 05, Eugen Polanski dijangka menjadi kunci perlawanan ini.

Ramalan: Poland 1 - 0 Republik Czech

Tuesday, June 12, 2012

Czech cuba elak tersingkir awal dan Russia cari tiket awal ke suku akhir. Tuan rumah waspada.

Republik Czech lawan Greece

Ulangan separuh akhir Euro '04. Ketika itu Republik Czech antara pasukan yang menonjol dalam kejohanan dikejutkan oleh Greece 0-1.

Czech kelihatan kurang bertenaga sewaktu tewas kepada Russia. Milan Baros tidak lagi mampu memberi sumbangan besar seperti sewaktu muncul penjaring terbanyak Euro 8 tahun lalu. Namun pemain seperti Tomasz Rosicky mungkin boleh bangkit menyelamatkan pasukan mereka. Ketangkasan Petr Cech turut diharapkan peminat Czech bagi memadam igauan buruk bolos 4 gol menentang Russia.

Greece bukan pasukan terkuat. Juara Euro '00 ini bagaimanapun mempunyai benteng yang sukar dirobohkan. Begitupun tidak mengejutkan jika Greece tampil dengan corak yang lebih positif pada pertemuan malam ini setelah melihat kerapuhan benteng Czech tempoh hari.

Ramalan: Republik Czech 2 - 1 Greece.


Poland lawan Russia

Wojciech Szczesny digantung perlawanan dan bakal digantikan oleh Przemyslawyton yang bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti pada pertemuan menentang Greece baru lalu.

Poland gagal memanfaatkan peluang untuk mengatasi Greece setelah mendahului dengan suatu ketika mempunyai kelebihan pemain berbanding lawan. Menurut jurulatih, faktor gemuruh dipercayai menjadi punca kegagalan Poland meraih 3 mata dalam perlawanan tersebut.

Perasaan tersebut seharusnya telah lenyap menjelang pertemuan kedua malam ini. Kekuatan pasukan tuan rumah pastinya disandarkan kepada tiga pemain yang beraksi bersama untuk Borussia Dortmund: Robert Lewandowski, Jakub Blaszczykowski dan Lukasz Piszczeck.

Russia pastinya menjadi perhatian ramai ketika ini setelah cemerlang menundukkan Republik Czech 4-1 pada perlawanan sulung mereka. Jika menang malam ini, mereka muncul pasukan pertama menempah tiket ke suku akhir.

Kekuatan Russia terletak pada kesatuan pemain yang bergerak sebagai satu unit dengan corak permainan menyerang. Arshavin, Dzagoev dan Shirakov perlu dikawal ketat oleh pertahanan Poland bagi mengelak sebarang bencana.

Ada kemungkinan Pavlyuchenko akan bermula dalam kesebelasan utama menggantikan Alexander Kerzhakov yang banyak melepaskan peluang jaringan ketika menentang Czech.

Ramalan: Poland 2 - 2 Russia

Liputan Matchday 1: Kumpulan D - England sekat Perancis dan kisah wira dari Ukraine

England 1 - 1 Perancis

Perlawanan bermula dengan 14 pemain dari Liga Perdana Inggeris beraksi di padang. Sepakan percuma oleh kapten Steven Gerrard tepat kepada Joleon Lescott yang menanduk masuk gol pertamanya bersama skuad kebangsaan England.

Dengan sentuhan Roy Hodgson, England berjaya membentuk lapisan pertahanan yang tersusun dilihat seringkali menutup ruang pergerakan Karim Benzema, Frank Ribery dan Florent Malouda.

Bagaimanapun, dengan pengalaman beraksi di England, Samir Nasri berjaya menemui jawapan bagi menewaskan rakan sekelabnya, John Hart untuk gol penyamaan Perancis. Ketika pergerakan pemain England semakin ke dalam, bekas pemain Arsenal ini meledakkan sepakan jitu ke penjuru bawah gawang England.

Perancis yang menguasai perlawanan dan mengasak hebat di hujung perlawanan pastinya agak kecewa kerana gagal mendapatkan gol kemenangan. England sebagai underdog, nyata lega dengan keputusan seri.

Pemain Terbaik Perlawanan: Ashley Cole


Ukraine 2 - 1 Sweden

Andrei Shevchenko. Dia pemain terbaik pernah bermain untuk Ukraine. Dia bekas wira Dynamo Kiev. Dia bekas bintang Milan.

Dan dia adalah pemain terbaik Eropah pada 2001.

Itu cerita sepuluh tahun dulu. Shevchenko kini sudah veteran.

Tidak ramai yang memberi harapan kepada Ukraine yang layak sebagai tuan rumah bersama. Dan tidak ramai yang meramal Shevchenko masih ada ketajaman untuk Euro'12. Dan ramai yang menganggap pemilihannya di dalam kesebelasan utama tidak lebih dari penghargaan bersalut nostalgia lalu.

Namun pada perlawanan pertama Ukraine di Euro'12, Sheva membuktikan betapa nilainya masih tinggi.
Ketinggalan 0-1 di wala babak kedua, penyerang berusia 35 tahun itu muncul wira dengan dua tandukan yang menghasilkan jaringan dalam tempoh tujuh minit.

Sweden gagal mendapatkan gol penyamaan. Ibrahimovic nyata menyerlah namun sepuluh rakan sepasukannya yang lain tidak.

Pemain Terbaik Perlawanan: Andrei Shevchenko

Liputan Matchday 1: Kumpulan C - Sepanyol, Itali terikat. Crotia laung amaran.

Sepanyol 1 - 1 Itali
Nyata, Itali boleh main bola juga.

Sepanyol turun dengan kejutan formasi 4-6-0. Mempertaruhkan penguasaan bola bahagian tengah bagi melemaskan Itali sebelum cuba menembusi benteng pasukan Azzuri itu dari tengah padang menerusi Andres Iniesta, Cesc Fabregas dan David Silva terutamanya.

Namun nyata Itali tidak merancang untuk bermain secara sempit. Malah Andrea Pirlo menampakkan kematangan dan kehebatan tersendiri memimpin jentera tengah Itali menyaingi skil tiki taka Sepanyol. Hantaran cantik Pirlo di minit ke-60 tepat menemui penyerang gantian, Antonio di Natale untuk gol cantik menewaskan Iker Cassilas.

Namun tidak sampai lima minit selepas itu, kaedah Sepanyol berhasil apabila Fabregas muncul di dalam kotak penalti bagi menghasilkan jaringan penyamaan.

Kemasukan Fernando Torres nyata memberi dimensi baru kepada corak serangan Sepanyol. Malah pada sentuhan pertamanya pemain Chelsea itu berada di dalam posisi mendapatkan jaringan namun dihalang dengan cemerlang oleh Gianluigi Buffon yang pantas keluar menutup ruang.

Peluang keemasan Torres hadir di minit ke-85 hasil hantaran dari Xavi Hernandez. Itali cuba menutup ruang namun Torres pantas mengelak lalu melakukan lambungan melepasi Buffon ke arah pintu gol. Bola melepasi palang gol.

Pemain Terbaik Perlawanan: Andrea Pirlo


Ireland 1 - 3 Crotia

Dua gol tandukan Mario Mandzukic selepas tiga minit bermula separuh masa pertama dan kedua, serta jaringan Nikica Jelavic dua minit sebelum tapat babak pertama memberi tiga mata berhata untuk pasukan Slaven Bilic. Meskipun tanpa Olic dan Eduardo, barisan hadapan Crotia dilihat amat merbahaya dengan kombinasi hebat Jelavic dan Mankudzic, bersama perancang utama Luka Modric.

Pemain pertahanan, Sean St.Ledger mendapatkan satu gol untuk Ireland yang diramal tidak mungkin membantu mereka untuk layak ke suku akhir.
Dengan lawan seterusnya adalah Sepanyol dan Itali, peluang Ireland boleh dikatakan telah pun tertutup.

Pemain Terbaik Perlawanan: Mario Mandzukic

Liputan Matchday 1: Kumpulan B - Oren tumpas, Jerman kalahkan Portugal

Belanda 0 - 1 Denmark

Kejutan pertama Euro'12.

Michael Krohn-Dehli menerima bola di sebelah kiri, menembusi kawalan Gregory Van der Wiel dan John Heitinga sebelum merembat rendah melalui dua kaki Maarten Stekelenburg lalu menerjah jaring Belanda. Kemenangan berharga Denmark ke atas pasukan pilihan warna oren mencetuskan permulaan menarik kepada persaingan sengit di dalam kumpulan maut.

Belanda dengan 28 percubaan ke pintu gol tanpa sebarang jaringan.
Percubaan Arjen Robben di separuh masa pertama terkena tiang sebelum Robin van Persie menendang angin ketika mempunyai ruang di dalam kotak penalti. Babak kedua lebih buruk lagi buat Robben. Tanpa dicabar, tandukannya dari jarak enam ela dari pintu gol tersasar.
 
Wesley Sneijder cemerlang di tengah padang. Malangnya RvP dan Robben membazir peluang.

Pemain Terbaik Perlawanan: Daniel Agger


Jerman 1 - 0 Portugal

Portugal mengamalkan corak bertahan kelihatan hampir mampu mengikat Jerman tanpa jaringan. Namun tandukan Mario Gomez di minit ke-72 memastikan Jerman berkongsi tangga pertama dengan Denmark selepas tamat perlawanan.
Walaupun menang, persembahan pasukan bimbingan Joachim Low dalam perlawanan ini agak longgar berbanding dengan status sebagai antara pilihan utama untuk menjuarai kejohanan. Pasti banyak yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan seterusnya menentang Belanda yang diibaratkan sebagai harimau luka.

Pemain Terbaik Perlawanan: Mesut Ozil

Liputan Matchday 1: Kumpulan A - Pembukaan penuh aksi dengan 2 kad merah serta penalti yang tidak gol. Russia cemerlang.

Poland 1 - 1 Greece

Perlawanan pembukaan penuh aksi. Dua kad merah. Penalti yang tidak gol.

Greece menjaringkan gol setelah Papastathopoulos dibuang padang. Malah berpeluang mencatat kemenangan apabila memperolehi sepakan penalti setelah Szczseny dihukum kad merah akibat menjatuhkan Salpingidis di dalam situasi satu sama satu.

Penjaga gol gantian Tyton menjadi menyelamatkan tuan rumah daripada kehilangan mata apabila
tangkas menyelamatkan tendangan penalti Karagounis. Berbanding Greece, Poland bermain lebih mantap di awal perlawanan dan berhasil mendahului satu gol menerusi tandukan kencang Robert Lewandowski dari hantaran lintang rakan sepasukannya di Borussia Dormund, Jakub Blaszczykowski.

Malangnya bak kata jurulatih Poland, Francuszek Smuda, "..kegugupan beraksi di pentas Euro menyebabkan kami gagal memanfaatkan peluang."

Greece pula harus diburu penyesalan di atas kegagalan menyempurnakan penalti.

Pemain Terbaik Perlawanan: Dimitrios Salpingidis.


Russia 4 - 1 Republik Czech

Persembahan bertenaga oleh Russia membolehkan mereka berpesta gol pada hari pertama. Dengan corak permainan terbuka kedua-dua pasukan, Russia lebih terserlah menguasai asakan.

Russia bermain cemerlang dengan hanya sedikit kesilapan yang membolehkan Czech mendapatkan gol saguhati. Andrei Arshavin dan Alan Dzagoev muncul dua pemain terbaik di atas padang. Arshavin dengan 2 assist. Dzagoev dengan 2 gol.

Pemain Terbaik Perlawanan: Alan Dzagoev

Monday, June 11, 2012

Inggeris atau Perancis? Tuan Rumah atau Tetamu? Malam ini pasti menarik.

Lapan tahun lalu di Lisbon.

Perlawanan pembukaan Kumpulan D, Euro'08.

Sepakan percuma David Beckham ditanduk masuk oleh Frank Lampard ke gawang Fabian Barthez. 1-0. Babak kedua. Wayne Rooney, remaja usia 18 - pemain termuda yang pernah beraksi untuk England di kejohanan Euro dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Sepakan penalti Beckham diselamatkan Barthez.

Ke penghujung minit ke-90. England masih mempertahankan kelebihan jaringan. Ketika Beckham dan rakan-rakan semakin hampir meraih tiga mata, sepakan percuma Zidane menerjah ke gawang England. 1-1.
Harapan mata penuh musnah. Pasukan tiga singa hilang tumpuan.

Minit ke-93, Steven Gerrard melakukan kesilapan hantaran ke belakang. Thierry Henry menguasai bola. David James melakukan terjahan. Penalti.

Dan Zidane dengan tenang menjaringkan gol kemenangan untuk Perancis. 1-2.


England lawan Perancis

Lapan tahun kemudian di Donetsk.

Perlawanan pembukaan Kumpulan D, Euro'12.

Gerrard kini kapten. Beckham sudah beralih ke Olimpik. Rooney tersisih oleh kad merah. Dan David James - seperti saya. Sekadar menonton di depan kaca TV.

Dengan pengurus Roy yang tidak diminati, skuad England hadir tanpa diberi harapan tinggi oleh peminat dan media.

Perancis juga ada ramai muka baru. Kapten muda Yann M'Via mungkin idak dapat beraksi. Namun pemain paling bahaya tentunya Frank Ribery. Kata Zidane, Ribery ialah permata bola Perancis. Karim Benzema tidak syak lagi merupakan salah seorang penyerang terbaik di Eropah. Pengurus Blanc bukan calang-calang. Dia pemenang Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.

Ramai pemerhati meramalkan England tidak akan pergi jauh. Lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Lampard, Barry dan Ferdinand serta penggantungan dua perlawanan ke atas Rooney.

Saya pula fikir sebaliknya. Ketiadaan Lampard satu kelebihan. Roy tidak perlu cuba mencatur cara menggandingkan Lampard dan Gerrard yang tidak pernah berjaya membuah hasil
di bawah Sven Goran mahupun Fabio Capello.

Kecederaan Barry satu bonus. Dia pemain tengah yang perlahan dan tidak banyak menyerlah untuk England.
Ferdinand tidak perlu atas ketika keharmonian pasukan harus diutamakan. Dan Welbeck dan Carrol berada dalam kondisi mantap untuk mengisi kekosongan Rooney.
Jadi untuk kali ini saya meyokong pengurus Roy! Walaupun ya, Perancis turun sebagai pasukan pilihan ramai.

Presiden UEFA pasti ketawa girang andai England tewas perlawanan ini.

Saya pula teruja untuk melihat reaksi bintang Euro'84 itu sebaik England menang nanti.

Ramalan: England 2 - 1 Perancis

Trivia: England merupakan satu-satunya pasukan pada Euro'12 di mana kesemua pemainnya bermain di liga tempatan.

Petikan: "Untuk julung kalinya tiada harapan tinggi diletakkan ke atas England. Dan ianya sesuatu yang baik untuk kita," - Terry Venables, bekas pengurus England.


Ukraine lawan Sweden

Persiapan Ukraine kurang lancar. Sejak dua tahun dulu pasukan tuan rumah bersama ini telah mencuba tiga jurulatih sebelum kembali melantik Oleg Blokhin yang pernah membawa mereka ke suku akhir Piala Dunia 2006.

Bermain di tempat sendiri belum menjamin kemenangan buat Ukraine. Namun sekiranya mahu memiliki sebarang harapan untuk melepasi kumpulan ini, kemenangan ke atas Sweden adalah kemestian. Itupun belum bermakna selamat kerana Perancis dan England bakal menunggu.

Andre Shevchenko munngkin masih boleh memberi sesuatu untuk menewaskan pertahanan Sweden walaupun kelibatnya sudah tidak begitu digeruni seperti waktu zaman kegemilangannya dulu. 

Namun kunci utama Ukraine mungkin terletak pada seorang lagi pemain veteran, Anatoliy Tymoshchuk.

Sweden secara amnya agak solid. Dan mereka mempunyai penyerang licik Zlatan Ibrahimovic. Dalam mood yang betul, dia boleh menjadi pengubah keputusan perlawanan.

Ramalan: Ukraine 1 - 1 Sweden

Petikan: "Jangan risau. Penyerang kami tidak boleh menjaringkan gol. Tiada penyerang dalam pasukan kami yang menjadi pilihan utama di dalam kelab masing-masing." - Oleg Blokhin, jurulatih Ukraine.

Saturday, June 9, 2012

Rebutan mata awal dari pertarungan getir

Apakah definisi sebenar kumpulan maut?
Seadilnya, tiada definisi yang rasmi.

Namun secara mudahnya, jika sekurang-kurangnya tiga pasukan hebat yang jika kesemua mereka layak ke separuh akhir bukannya sesuatu yang menghairankan tetapi perkara itu tidak mungkin berlaku kerana mereka di dalam kumpulan yang sama, maka itulah kumpulan maut.

Kumpulan maut pada kejohanan Euro sejak 1996:
Euro'96 - Perancis, Sepanyol, Bulgaria (tempat ke-4 Piala Dunia'94) dan Romania. Perancis dan Sepanyol lolos.
Euro'00 - Juara bertahan Jerman, England, Portugal dan Romania. Jerman dan England pulang awal. 
Euro'04 - Jerman, Belanda, Republik Czech dan Latvia. Jerman terkandas bersama Latvia.
Euro'08 - Juara dunia Itali, naib juara dunia Perancis, Sepanyol dan Romania. Itali dan Sepanyol lolos. Sepanyol seterusnya menjadi juara.

Di atas kertas, pertembungan hebat bakat berlaku hari ini. Pertarungan di dalam kumpulan maut Euro'12 bermula awal pagi ini waktu Malaysia.


Belanda lawan Denmark

Belanda seperti selalunya diramal bakal cepat menyesuaikan diri dengan kejohanan dan bakal bermula dengan mantap. Malah satu kelebihan yang penting untuk skuad Belanda kali ini ialah mereka mempunyai kelompok pemain yang telah kian lama bersama mengharungi cabaran kejohanan besar Puala Dunia dan Kejohanan Eropah. Kini pada usia dan tahap prestasi terbaik.

Sekurang-kurangnya 10 pemain ternama: Wesley Sneijder, Rafael van der Vaart, Arjen Robben, Robin van Persie, Mark van Bommel, Khalid Bouhlarouz, Joris Mathijsen, John Heitinga, Nigel de Jong dan Dirk Kuyt telah bersama-sama di dalam pasukan Belanda sejak lebih tujuh tahun lalu. Dan pada hari ini, kecuali Van Bommel, Mathijsen dan Heitinga, nama-nama ini masih belum pun mencecah usia 30 tahun. Mereka telah muncul naib juara piala dunia 2010. Maka apakah yang bakal dijangka untuk kejohanan ini?

Denmark. Pasukan bimbingan Morten Olsen ini dianggap pasukan bukan pilihan berbanding Belanda, Jerman dan Portugal di dalam kumpulan B. Namun berdasarkan prestasi semasa pastinya Denmark tidak boleh dipandang enteng. Malah ketika pusingan kelayakan mereka telah berjaya muncul juara kumpulan mengatasi Portugal di tangga kedua.

Ramalan: Belanda 2 - 0 Denmark

Petikan menarik:
"Semestinya kalau boleh saya ingin beraksi di dalam kesebelasan utama. Namun tidak dinafikan Robin van Persie dan Ibrahim Affelay berada di dalam prestasi yang cemerlang ketika ini. Jadi saya sentiasa bersedia walaupun hanya berada di bangku simpanan," Dirk Kuyt.


Jerman lawan Portugal

Ulangan suku akhir Euro'08 di mana Jerman menang 3-2 hasil jaringan Bastian Schweinsteiger, Miroslav Klose dan Michael Ballack. Sebahagian pemain kedua-dua pasukan di dalam perlawanan tersebut masih kekal untuk perlawanan malam ini. Jerman, dengan rekod 10 kemenangan dari 10 perlawanan pusingan kelayakan pastinya semakin utuh dengan kehadiran muka baru yang telah meledak pada Piala Dunia lalu seperti perancang hebat Mesut Ozil, Thomas Muller dan Toni Kroos.

Dan Mario Gomez yang cemerlang bersama Bayern Munich musim ini pastinya mahu memadam kekecewaan lalu ketika beraksi di kejohanan utama bersama pasukan Jerman.

Jerman dijangka bakal menguasai pertembungan malam ini. Namun demikian Portugal mempunyai faktor Cristiano Ronaldo yang boleh membawa keputusan positif untuk skuad naib juara 2004 itu. Apapun sekiranya pasukan Jerman yang berpengalaman bijak menutup ruang Portugal dan mengganggu tumpuan Ronaldo, maka Portugal pastinya menemui kesukaran untuk meraih mata dari perlawanan ini.

Ramalan: Jerman 1 - 0 Portugal

Petikan menarik:
"Cristiano Ronaldo adalah seorang pemain yang cemerlang di dalam padang dan amat baik di luar padang. Bukan seperti yang selalu dilaporkan oleh media. Kita saya baru hadir di Real Madrid dia banyak membantu dan mahukan kami sebagai satu pasukan yang berjaya bersama-sama,"  Mesut Ozil, pemain tengah Jerman.

Friday, June 8, 2012

Rasa macam nak demam..

Musim panas di Eropah.

Dan Euro kembali lagi.

Lalu saya ingin menulis untuk sebulan. Insya Allah.

Apa itu Euro 2012?

Satu temasya yang bakal menyaksikan lelaki peminat bola dan wanita peminat pemain bola terus di hadapan kaca tv setiap malam jam 12 dan 2 pagi di Malaysia.
Satu peristiwa yang bakal melonjakkan urusniaga jual beli jersi di uptown dan al ikhsan mungkin.
Satu cabaran buat para pemakan gaji dan penuntut kolej untuk terus peka di siang hari,
Dan apa saja lagilah.

Euro 2012 mengekalkan format yang mula diterapkan sejak Euro'96 dengan 16 pasukan bertanding di pusingan akhir. Poland dan Ukraine sebagai tuan rumah bersama disertai oleh 14 pasukan terbaik eropah yang berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Juara bertahan, juara dunia dan penghuni ranking no.1 FIFA ketika ini, pasukan Sepanyol menjadi pilihan utama kejohanan bersama-sama finalis Piala Dunia 2010, Belanda dan semi-finalis, Jerman.


Kumpulan A
Poland
Russia
Greece
Republik Czech

Kelihatannya sebagai membosankan dengan ketiadaan pasukan dari negara yang mempunyai liga ternama. Namun menariknya, selain tuan rumah Poland, kesemua pasukan di dalam kumpulan ini pernah merangkul kejuaraan Euro.

Russia (Soviet Uniton) adalah juara edisi Euro ketika pertama kali diadakan pada tahun 1960.
Greece merupakan juara Euro 2004 yang terpateri di dalam sejarah sebagai kejutan terbesar di dalam dunia sepak bola. Republik Czech telah muncul juara Euro 1976 (di bawah nama Czechoslovakia - ketika itu Republik Czech dan Slovakia masih bergabung sebagai satu negara).

Tuan rumah Poland. Ia mengingatkan saya kepada Zbigniew Boniek. Mungkin kali ini eropah akan lebih mengenali Robert Lewandowski.

Ramalan: Russia dan Republik Czech akan layak ke suku akhir.


Kumpulan B
Belanda
Jerman
Portugal
Denmark

Ini digelar Kumpulan Maut.

Menariknya, 4 daripada 7 pasukan terbaik benua eropah berdasarkan ranking ketika ini berada di dalam satu kumpulan yang sama di dalam Euro 2012.

Belanda, Jerman, Denmark dan Portugal telah diundi untuk berada di dalam kumpulan MAUT!

Pastinya pertembungan empat pasukan ini untuk merebut dua slot ke pentas suku akhir menjadi tumpuan seluruh peminat. Ramai yang memilih Belanda, Jerman atau Portugal. Dan kurang yang memilih Denmark.

Belanda, Jerman dan Denmark pernah merangkul kejuaraan Euro sebelum ini. Belanda pada 1988. Jerman 3 kali pada 1972 (era Backenbaur), 1980 (era Rummenigge) dan 1996 (penghujung era Klinsmann).
Denmark yang dipanggil pada saat akhir menggantikan Yugoslavia pada Euro'92 membuat kejutan hebat menewaskan Perancis, Belanda dan Jerman untuk muncul juara.

Portugal merupakan pencabar hebat. Sejak zaman generasi emas Manuel Rui Costa, Luis Figo diteruskan oleh Deco dan kini Cristiano Ronaldo, persembahan mereka sentiasa cemerlang. Pada Euro 2000 Portugal tewas tipis 1-2 di separuh akhir kepada juara dunia ketika itu, Perancis. Dan mereka hampir menamatkan badi kejuaraan ketika menjadi tuan rumah di Euro 2004 sebelum terhempuk di final oleh pasukan underdog, Greece.

Ramalan: Portugal dan Denmark bakal kecewa.


Kumpulan C
Sepanyol
Itali
Croatia
Ireland

Menariknya ada juara dunia dan juara bertahan eropah Sepanyol. Mereka ada Xavi, Iniesta, Silva dan Fabregas yang bakal memperagakan permainan penguasaan bola yang cantik yang bisa membuatkan lawan terkial-kial. Harapannya semoga lebih banyak jaringan yang terhasil berbanding keputusan 1-0.

Tidak pasti pula sama ada Itali satu tarikan. Melihatkan kepada corak permainan pasuka Azzuri ini pastinya tidak. Namun mereka masih ada Andrea Pirlo dan Gianlugi Buffon yang merupakan antara penjaga gawang terbaik sepanjang zaman. Oh ya, tarikan pastinya satu-satunya pemain kulit hitam dalam pasukan ini.

Croatia pasti cuba memadamkan igauan buruk tewas kepada Turki pada suku akhir Euro 2008. Kedudukan terikat tanpa jaringan selepas 90 minit. Ketika perlawanan kelihatan bakal ditentukan penalti penyerang Crotia, Ivan Klasnic menggegar gawang Turki seminit sebelum tamat masa tambahan. Pada minit terakhir masa kecederaan Turki menghasilkan gol penyamaan dan seterusnya menyingkirkan Croatia di dalam penentuan sepakan penalti.

Ireland. Ada pemain lama Robbie Keane dan Shay Given. Hmm..itu sahaja.

Ramalan: 2 I's pulang awal.


Kumpulan D
Ukraine
England
Sweden
Perancis

Ada Perancis, ada England. Jadi, sudah tentunya menarik bagi media dan peminat.

Masa kecil-kecil dulu saya sokong Perancis dan saya paling meminati Michel Platini. Ketika itu Michel Platini adalah pemain bola dan saya pula penonton bola.

Sehingga kini belum ada pemain yang pernah menjaringkan gol di dalam semua perlawanan euro dari peringkat kumpulan sehingga perlawanan akhir.

Kecuali Michel Platini.

Pele, Maradona dan Messi pun tidak pernah melakukannya di Piala Dunia.

Pada Euro'84, Platini menjaringkan 9 gol termasuk dua hattrick. 3 gol menggunakan kaki kanan. 3 gol menggunakan kaki kiri. 3 gol melalui tandukan. Ada sepakan jarak jauh. Ada tap in. Ada sepakan percuma dan ada sepakan penalti. Pendek kata, pakej lengkap.

Pada Euro'92 saya sokong Perancis dan England. England waktu itu ada Gary Lineker. Dan kedua-dua pasukan ini tersingkir awal di peringkat kumpulan. Hampa.

Bila dah besar saya semakin tidak menyokong Perancis. Secara tepatnya sejak Eric Cantona tak lagi bermain untuk Perancis.

Bila dah besar juga saya sudah tidak meminati Michel Platini. Ketika ini Michel Platini adalah presiden UEFA dan saya pula masih penonton bola.

England pula terus menjadi pasukan pilihan saya. Walaupun permainan mereka tidak selalunya menarik seperti Sepanyol atau Jerman. Kenapa saya sokong England?

Boleh jadi kerana saya dibesarkan dengan liga inggeris. Saya buat analisa why-why. Puncanya mungkin kerana negara saya pernah dijajah oleh British.

Ukraine layak hanya kerana mereka tuan rumah. Dan ini peluang untuk Andre Shevchenko bermain di dalam Euro sebelum bersara.

Sweden tidak pernah menjadi kegmaran saya.

Ramalan: Perancis dan England bakal tembus ke suku akhir.


Sepak Mula

Jadi milik siapakah gelaran juara untuk edisi EURO 2012 ini?

Demamnya telah bermula.

Dan dari kaca TV menerusi liputan Astro di Malaysia, sepak mula bermula tengah malam ini.